15Malaysia

Wednesday, March 12, 2008

Warkah Dua Jiwa

Assalamualaikum

Menemui sahabatku yang dikasihi Nuqman,

Sekarang saya mula menyedari betapa besarnya kesilapan saya untuk saudara maafkan walaupun berjuta lembaran kemaafan saya hulurkan,
namun tidak mampu menepis api kemarahan, ego dan kekecewaan saudara.
Hakikatnya, saya tidak mahu menyalahkan saudara kerana aulanya sayalah yang terlebih dahulu patut dipersalahkan.

Saya tak pandai menjelaskan sejauh manakah hubungan kita dan saya tak pandai menilai erti sebenar di sebalik sebuah persahabatan. Saya malu kerana sayalah yang memberi dahan harapan untuk saudara pauti tapi saya jugalah yang mematahkannya, pastinya perkenalan kita selama ini hanya atas nama sebuah persahabatan. Di sinilah titik tolak bicara yang menyebabkan saya kelemasan tatkala saudara menganggap saya kekasih saudara.

Tuntasnya, hubungan kita kian renggang dan sudah muncul bibit-bibit keretakan, kehancuran, kemusnahan.

Kita yang kian terasing,
Akibat tersalah faham dalam perhubungan,
Kau kejar cinta bayangan, lenyap ditelan cahaya terang,
Kau kejar cinta pelangi, hilang selepas hujan,
Andainya kemaafan tidak kau hulurkan,
Walau saban waktu ku menagihnya,
Aku yakin jarak antara kita pasti melebar dan meluas,
Kau di Timur, aku di Barat,
Aku pepasir di bumi, kau bintang bersinar di angkasa,
Memang mudah melupakan
Tapi terfikirkah ?
Payahnya menyulam sebuah ukhuwwah dan mahabbah.

Sahabatmu, Nurul 'Atiqah.

***********************************

Assalamualaikum Sahabatku,

saudari yang saya kasihi, Sebenarnya sudah lama hati ini dengan sejujurnya memaafkan saudari, tiada walau sekelumit pun bara dendam membakar dalam jiwa saya, percayalah Sahabatku, teman jiwaku, Usah saudari bohongi diri dengan bermain kata-kata, kelak akan membinasakan diri, lain yang saudari ungkapkan di bibir manis saudari tapi lain pula yang terpendam di hati.

Huluran ikhlas jemari persahabatan yang saudari hulurkan sebenarnya adalah cinta suci saudari yang tidak terucap, dek rintangan yang bertali arus dan saudari terlalu akur dengan keadaan. Janganlah dianggap diri saudari ibarat ranting tempat saya hinggap sekejap cuma, saudari bukanlah ranting tempat hinggapan beburung seketika tapi bagi saya saudari umpama bayang-bayang yang senantiasa bersama saya.

Tak perlu bebani hati saudari akibat rajuk yang tiada akhirnya. Memang tidak pernah alam raya ini bergema dengan lafaz yang saudari cintakan saya, tapi hakikatnya saudari takut untuk meluahkannya, kerana bimbang kisah cinta kita berkesudahan dengan episod duka dan pilu, betulkan ? Sudah banyak cakap-cakap orang yang saya dengar, entah benar entah tidak, banyak lamaran yang saudari terima, tapi semuanya saudari tangguhkan jawapannya, tak angguk, tak geleng, maka yakinlah saya, saudari masih menunggu saya.

Kebal sungguh istana cinta kita. Nah, jika saudari tidak cinta, masakan saudari sanngup menanti warkah ini hingga cengkung kelopak mata ?? Walau sudah banyak utusan surat-surat kemaafan dari saudari, mengapa masih pagari diri saudari dengan derita ?? Mengapa ? Cuba belajar untuk berterus-terang, luahkan apa yang terpendam di sanubari, tunggu warkah terakhir dari saya, pasti saudari akan menerimanya, Insya-Allah. Akhirnya, ketahuilah bahawa saya sudah miliki suri hidup yang saya idamkan, impian saya sudah termakbul.

Nasihat saya, terimalah lamaran dan pinangan daripada sesiapapun, jangan gelapkan masa depan saudari.

Sahabat yang pernah mencintaimu, Nuqman.

***********************************
Assalamualaikum Atiqah,

Kurayu dirimu melupakanku lantaran cinta yang tidak direstui orang tuamu. Amat payah melupakan detik-detik silam.

Kaulah cinta pertamaku dan aku sentiasa yakin bahawa cinta kita bukanlah cinta hingusan walau ketika itu usia kita baru setahun jagung. Semuanya ada hikmah yang menanti di penghujunnya, pada ummu dan walidmu, syukran jazilan kerana bagiku merekalah pembuka jalan untukku menempuhi liku-liku kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran.

Kau tahu Ika, aku anak nelayan, tapi tak pernah merempat, jauh sekali menagih simpati orang atau melukut di tepi gantang. Aku tahu keluargamu tidak kejarkan harta, sebab itulah, tatkala aku bertandang ke rumahmu, walidmu tidak bertanya, berapa buah bot yang ada, berapa banyak pukat yang ada ?? Tapi, apa yang terpacul dari bibir walidmu yang menguntumkan senyum sindiran bila aku mengatakan yang aku hanyalah lepasan sekolah menengah biasa, tidak belajar ilmu agama, dan bahasa Arab, tentu kau masih ingatkan ?

Kerana bagi mereka ilmu adalah sesuatu yang tiada tolok bandingannya. Kalau dulu, dendam itu membara dalam lubuk hatiku, tapi kini sudah ku padamkan dengan simbahan air kasih sayang. Sebab aku sedar mana mungkin aku dapat memetik bunga indah, mekar yang menguntum dan mengembang di taman larangan, sedangkan aku hanyalah ibarat tin kosong yang disepak terajang orang di jalanan.

Kini ku kenal mana satu kaca mana satu permata, ummu dan walidmulah jauhari yang mengenal manikam!! Aku teruskan langkah kakiku bagi mengejar cita-citaku dengan hanya berbekalkan sijil SPM. Kau tahukan aku tidaklah sebijak kau. Aku diterima masuk di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Mustahil bagiku yang asalnya dari jurusan sastera boleh bertukar ke jurusan agama. Kalimah Arab yang aku tahu hanya ana, anti dan anta sahaja. Lainlah kau, yang sememangnya berasal dari sekolah agama.

Aaahh. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke bahu, alang-alang ingin bersamamu ku kuatkan azam dan semangat, aku mesti duduki kursus Ilmu Wahyu yang saban hari ku impikan. Masa cutiku, dipenuhi dengan mentelaah kitab-kitab dan belajar di pondok-pondok berhampiran, bila hujung minggu minggu aku akan kunjungi alim ulama untuk menadah kitab.

Akhirnya, aku berjaya melanjutkan ijazahku ke Mesir dalam jurusan Ilmu Wahyu. Ya, Mesir negeri yang menjadi impianmu selama ini tapi kau terpaksa akur dengan kehendak walidmu untuk belajar di dalam negeri lantaran walidmu tidak mahu disengat rindu terhadapmu, anak emas keluarga.

Nampaknya aku yang tiba terlebih dahulu daripadamu di bumi anbiya ini. Di bumi inilah, kesakitan meruntun jiwaku lantaran digigit rindu yang bukan kepalang, kukutip cinta yang keguguran, ku jadikan impian orang tuamu ingin bermenantukan ustaz sebuah realiti. Di sinilah jua aku terima sebuah warkah kemaafan darimu. Aku masih ingat coretan suratmu, Andainya jodoh kita sudah termaktub di Luh Mahfudz, tiada apa yang perlu dirisaukan.

Atiqah, ratu hatiku,

Maafkan diri ini andai menyiksamu dengan melewat-lewatkan balasan maafku untukmu. Bukan sengaja aku berbuat demikian, penyebab utamanya di bumi barakah ini, aku kosongkan jiwa dan mindaku untuk hal-hal duniawi kerana aku cukup yakin ada bahagiannya untukku kelak, aku mula menghafaz Al-Quran, Alhamdulillah aku sudah selesai menghafaz kesemuanya.

Hijrahku di sini lillahitaala dan habuannya kau menjadi teman hidupku. Atiqah, bakal zaujahku, Untuk pengetahuanmu, wang gajiku semasa aku memanfaatkan cutiku mengajar muallaf-muallaf di London sebanyak RM 11000 akan ku hadiahi kepadamu sebagai hantaran, upah kesetiaanmu kepadaku.

Ketika kau terima surat ini ibuku melamarmu untukku, aku sudah penuhi impian ummu dan walidmu. Masih terngiang-ngiang di telingaku kata-kata walidmu, Man, hasrat kami bermenantukan orang yang faqih dalam bidang agama. Boleh menjadi imam di masjid, mengajar orang-orang kampung di madrasah ilmu-ilmu agama dan menjadi tauladan buat anak-anak muda. Man, anak masih muda, belajarlah dulu, jangan ganggu Ika dan jangan hubunginya, dengar nasihat ini yang merupakan amaran. Ingatkah kau Ika ??

Itulah kata-kata yang menjadi perangsangku untuk tidak terus jahil. Akhir kata, sambutlah lamaranku dengan seikhlasnya. Ku di kejauhan, Nuqman. Maafkan kami, Puan Zainab, Ika permata hati kami telah dijemput menemui Allah. Kami tak dapat menunaikan hasrat Nuqman. Maafkan kami. Kata-kata itu membentak jiwaku, air mata jatuh berlinangan membasahi kedua-dua pipiku.

Mungkinkah kerana aku terlalu mementingkan diri sendiri, tapi itu semua keranamu Ika. Tuhan lebih menyayangimu, hadirmu membawa sejuta makna dalam hidupku, menerangi seluruh pelusuk kamar hatiku, hadirmu kekasih memberi ketenangan, kebahagiaan dan kedamaian. Ika aku mencintaimu.

Man kau bacalah surat ini, inilah warkah terakhir yang Ika tulis untuk kau sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Kami temuinya dalam diari Ika. Maaf atas segala kesilapan pakcik dan makcik.

***********************************

Assalamualaikum, Buat tatapan Ustaz Nuqman bin Hakim. Maafkan ana atas segalanya, benarlah segala kenyataan saudara, andai kehidupan yang memisahkan, biarlah kematian yang menemukan kembali. Ilal-liqa fil jannah

Ohhh Ika kekasihku inikah sebabnya kau mengutus surat kemaafan untukku ???

* Seriously i love this story to bits. Actually, i've printed out this story when i was in UK, around 2002 camtu kot. Tapi bila dah balik msia, cuma tinggal 1st page jer. Punyalah frust.. huhu.
The best thing is baru tadi jumpa this story semula.. Im the happiest woman. :p

0 COMMENTS: